Arabiyy

Tegakkanlah Agama Dan Janganlah Kamu Berpecah Belah

Fiqh Kontem : Bab 7 PRODUK PERBANKAN ISLAM : AKAUN SIMPANAN, AKAUN SEMASA DAN PELABURAN EMAS

FIQH KONTEM

TAJUK 7 : PRODUK PERBANKAN ISLAM : AKAUN SIMPANAN, AKAUN SEMASA DAN PELABURAN EMAS

Akaun semasa merujuk kepada akaun bank yang membenarkan pengeluaran dilakukan dengan mudah menggunakan cek. Selain cek, pengeluaran biasanya dibenarkan melalui kad ATM dan saluran lain seperti perbankan Internet, perbankan Telefon dan sebagainya untuk tujuan pengeluaran atau pembayaran bil.
Penggunaan cek memudahkan urusan pembayaran peribadi dan juga perniagaan. Selain dari itu ia memudahkan pengguna untuk menyimpan bukti pembayaran itu telah diterima oleh pihak yang dibayar kerana cek itu akan disimpan oleh pihak bank dalam tempoh masa tertentu sebagai rekod. Tempoh masa ini bergantung kepada undang-undang dan peraturan di negara pihak bank itu beroperasi.
Apabila anda membuka akaun semasa, pihak institusi perbankan akan mendapatkan contoh tandatangan anda. Institusi perbankan akan membandingkan tandatangan anda pada cek yang ditawarkan dengan contoh tandatangan yang diterima. Sekiraya tandatangan tersebut berbeza, pihak institusi perbankan berhak menolak cek anda dan mengembalikan cek itu.

Banyak bank menawarkan kadar faedah yang menarik untuk akaun semasa, tetapi hanya dengan tahap yang SANGAT tinggi iaitu deposit RM1 juta dan ke atas. Jadi, anda perlukan jumlah wang yang besar dan wang yang sedia ada pada bila-bila masa, tetapi jika untuk menyimpan jumlah wang yang besar untuk kurang dari 1 bulan, mungkin lebih baik disimpan di Akaun Simpanan.

Akaun Semasa sebenarnya hampir sama dengan Akaun Simpanan dengan pengecualian yang membolehkan anda untuk menulis cek.

AKAUN SIMPANAN.
Akaun simpanan membolehkan penyimpan menerima keuntungan faedah ke atas deposit setiap bulan, tanpa tarikh matang seperti pelaburan deposit tetap. Seperti akaun semasa, penyimpan akan dapat mengeluarkan wang tunai setiap kali ia memerlukannya dengan menggunakan ATM, debit atau kad caj, dengan ketiadaan buku cek. Untuk memantau semua transaksi akaun dan pendapatan faedah, ia boleh menyemaknya melalui buku simpanan atau penyata akaun bank.

Cara memperolehi faedah adalah seperti berikut. contohnya:

Aishah al-Ridha membuka akaun simpanan yang menjana pendapatan purata 2.1% setahun. Deposit permulaan ialah RM5,000. Dalam satu tahun, dia akan memperoleh RM105.

2. RIBA DALAM AKAUN SIMPANAN DAN PELABURAN.
Bagi menjelaskan bentuk kedua bagaimana riba berlaku, contohnya adalah seperti berikut :-
Ia berlaku apabila pelanggan meletakkan wangnya di dalam akaun :-
• Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).
• Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).
Penjelasannya adalah seperti berikut :-
Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit Account).
Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap adalah riba. Dalam akaun jenis pertama ini, Individu A meletakkan wangnya di dalam “conventional fixed deposit account”.
Menurut kontrak dan perjanjian yang ditandatangani, pihak pengendali (Bank) akan mengumpulkan wang individu A tadi bersama dengan wang depositor atau pelabur lain. Kemudian, kumpulan wang itu akan digunakan samada bagi pelaburan wang terus ke dalam mana-mana syarikat yang kukuh bagi mendapatkan pulangan yang baik ataupun digunakan untuk memberikan pinjaman secara riba kepada syarikat-syarikat yang datang kepada Bank untuk tujuan perniagaan mereka, samada perniagaan itu halal mahupun haram.
Sebagai imbalan kepada para pelabur atau penyimpan, pihak bank akan menetapkan kadar faedah tertentu (‘fixed interest’ atau ‘fixed return’) sebagai contoh 3 % untuk diberikan kepada penyimpan @ pelabur (tambahan ke atas wang modalnya) bagi suatu tempoh selama matang antara 1 – 11 bulan, kadar faedah adalah menurut budibicara pihak pengurusan bank. Pada kebiasaannya Bank telah pun membuat kira-kira bagi menentukan kadar interest yang ingin diberinya.
Ingin ditegaskan di sini bahawa, menurut Islam, kadar 3 % dari “fixed deposit account” (akaun simpanan tetap) tadi adalah Riba ‘Ad-Duyun’ dari jenis ‘Al-Qard’. Ini adalah kerana, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, disiplin pelaburan Islam (iaitu Mudarabah atau Musyarakah) tidak boleh menentukan pulangan keuntungan di awal kontrak sama sekali. Hanya nisbah pembahagian keuntungan yang dibenarkan, seperti 70 : 30 ( Bank : pelanggan).
• Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).
Dalam Akaun Simpanan Konvensional (Ordinary Savings Account) pula, sekali lagi terdapat Riba secara pasti. Ini kerana bank akan memberikan kadar faedah tetap sekitar 0.1-0.2 %.
Dalam keadaan ini, Bank pula dikira meminjam wang dari pelanggan untuk digunakan bagi tujuan pelaburan kecil-kecilan, dan si pelanggan dianggap seolah-olah telah menawarkan pulangan tetap atas pinjaman (simpanan) yang diberikan oleh pelanggan kepada Bank itu.
Hasilnya; Bank mesti membuat pembayaran tambahan (faedah) menurut kadar yang telah di tetapkan tadi walau dalam keadaan apa sekalipun. Sekiranya Bank mendapat untung yang amat lumayan hasil penggunaan wang simpanan tadi, bank tetap hanya perlu membayar kadar kecil tadi, maka pelanggan pastinya dikira rugi. Sebaliknya, sekiranya bank menghadapi kerugian, Bank tetap perlu membayar kadar interest itu tanpa mengira sama ada ia akan menambah beban kerugiannya atau tidak. Maka, kerugian Bank pasti bertambah dan membebankan.
Justeru, penindasan berlaku dalam kedua-dua bentuk akaun simpanan dan pelaburan konvensional di atas (Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account) dan Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account), sama ada kepada bank (apabila rugi tapi perlu membayar faedah Riba) atau pelanggan (apabila untung tapi hanya mendapat nisbah kecil).
SOALAN
Bagaimanakah riba boleh berlaku dalam Akaun Simpanan? Huraikan.
Bagaimanakah riba boleh berlaku dalam Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account)? Jelaskan.
Apakah perbezaan antara akaun simpanan di bank konvensional dan bank Islam?
Akaun Simpanan di Perbankan Islam
Dalam pengurusan akaun secara Islam, suasananya adalah berbeza sama sekali, di mana semua pelanggan yang menyimpan wang di Islamic Akaun Islam ini boleh memilih sama ada ingin menggunakan wadi’ah atau mudarabah:-
a) Akaun Simpanan atas asas Wadi’ah (simpanan biasa tanpa menggunakan konsep mudharabah);
Dalam kontrak ini, pihak bank akan memastikan semua jumlah wang simpanan pelanggan adalah sentiasa selamat dan boleh di keluarkan pada bila-bila masa oleh pelanggan. Bagi memanfaatkan dan menanggung kos pengurusan simpanan ini, pihak pengurusan Bank-bank Islam biasanya akan menggunakan wang tersebut untuk tujuan pelaburan yang halal sahaja, tetapi pihak Bank akan menjamin pelanggan boleh mengeluarkan wangnya pada bila-bila masa serta akan menanggung segala kerugian jika berlaku.
Sebagai menghargai pelanggan yang menyimpan wang ini sehingga membolehkan pihak Bank menjalankan operasi ekonomi dan perniagaan Islam, maka jika terdapat untung, pihak Bank akan memberikan hibah (hadiah sejumlah wang) kepada penyimpan sebagai tanda penghargaan.
Bagaimanapun jumlah dan kadar pulangan dalam bentuk ‘hibah’ atau hadiah adalah terpulang kepada budibicara bank sepenuhnya, malah mungkin tiada sebarang hibah dalam keadaan tertentu. Jika ada pulangan, ia akan berubah-ubah menurut prestasi pernigaan yang dibuat oleh Bank Islam itu.
Sekiranya hasil pelaburan menggalakkan, maka kebiasaannya penyimpan akan di beri “hibah” yang agak baik sebagai galakkan dan ucapan terima kasih kepada pelanggannya. Walaubagaimanapun hibah itu sama sekali tidak boleh dijanjikan oleh Bank dan tidak boleh pula dituntut oleh si pelanggan. [8] [8] Al-Ma’ayir As-Shar’iyyah, AAOIFI, hlm 350.
Oleh kerana itu, jika pelaburan mengalami kerugian, pihak penyimpan mungkin tidak akan diberi sebarang hibah, wang simpanan mereka juga tidak akan berkurangan. Ini lebih adil kerana :-
• Pelanggan berpeluang mendapat hibah dalam keadaan wang simpanannya terjamin/tanpa risiko hasil pelaburan. Jumlah dan kadar hibah adalah sepenuhnya terpulang kepada budibicara bank. Bagaimanapun, biasanya pihak bank akan memberikan kadar hibah yang tinggi sedikit jika keuntungan diperolehi, demi menggalakkan minat pelanggan.
• Bank juga tidak terpaksa membayar apa-apa kepada pelanggan jika tiada keuntungan. Justeru bank tidak teraniaya sama sekali berbanding Bank Konvensional.
• Tiada sebarang Riba terbabit di dalam akaun ini dan semua pelaburan yang dibuat adalah setelah dipastikan memenuhi kehendak Shariah.
b) Akaun Simpanan atas asas Mudarabah (perkongsian untung)
Satu lagi produk di dalam pengamalan kewangan Islam di Bank-bank Islam adalah akaun pelaburan yang menggunakan konsep ‘Mudharabah’. Ia bermaksud pihak pelanggan ingin menyimpan wangnya sambil membuat pelaburan secara khusus. Nama produk-produk untuk akaun ini seperti ” Akaun Pelaburan Umum Mudarabah” atau “Akaun Pelaburan Istimewa Mudarabah” atau ” Akaun Semasa Mudarabah”.
Menurut konsep ini pelanggan bersedia menerima risiko lebih bagi membuka ruangnya bagi mendapat peratusan keuntungan yang lebih besar sekiranya pihak Bank berjaya melaburkan wang dengan pulangan lumayan. Kadar peratusan akan ditetapkan di peringkat awal seperti 70 % untuk pelanggan dan 30 % bank, 80/20, 60/40 dan sebagainya.
Satu perkara yang juga amat penting dalam akaun Islam ini adalah, deposit yang terkumpul hanya akan digunakan untuk :-
• a) Dilaburkan untuk kegunaan perniagaan bank Islam yang telah dipastikan halal
• b) Dilabur kepada pihak ketiga yang juga dipastikan perniagaannya halal untuk membiayai perniagaan mereka, semua perniagaan ini telah di tapis oleh Majlis Penasihat Shariah dan pengurusan bank. Justeru semua “Shariah-Approved companies” ini telah di pastikan dengan teliti ketepatannya dari sudut Shariah, justeru semua keuntungan yang bakal di perolehi adalah harta yang bersih.
Urusan tapisan dibuat secara terperinci, dan perlaksanaannya dibuat dalam suasana “client-friendly”, iaitu dengan perbincangan yang cukup telus atau “transparent” dengan “client”.
Ia mungkin akan membuat penilaian dari sudut “asset” mahupun “lialibilities” sesebuah syarikat, tanpa mengira ianya adalah sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham atau tidak. Secara umum penapisan “filter” Shariah berikut biasanya digunakan antaranya :-
• i- Industry filtering (membuang syarikat-syarikat yang perniagaan induknya berkaitan produk-produk haram)
• ii- Primary Financial Filters (mengeluarkan syarikat-syarikat yang tahap hutangnya tidak boleh ditoleransi lagi atau mempunyai “impure interest income” berdasarkan panduan Majlis Penasihat Shariah )
Adapun di Bank Konvensional, proses pengendalian akaun simpanan dan pelaburannya adalah amat berbeza. Pertama, ia tidak terikat dengan displin Shariah, akibatnya mereka pasti akan menumpukan pelaburan di dalam syarikat yang boleh memberi pulangan besar tanpa meninjau aspek pematuhan Shariah atau tidak.
Selain itu, setiap individu mestilah tidak terkeliru dengan kadar peratusan yang di paparkan oleh sesetengah akaun Islam mudarabah di sesetengah Bank Islam. Ia hanyalah kadar pulangan purata menurut prestasi lepas, ia disebut sebagai “Indicative Rates” atau “kadar andaian dan ramalan” dan bukannya kadar yang tepat dan dijanjikan oleh pihak bank, ia di paparkan demi mencapai keyakinan pelanggan terhadap prestasi pengurusan dan pelaburan Bank.
Cara kiraannya yang telah dipermudahkan adalah seperti berikut :-
Cara Kiraan :-
Untung Sebenar = Kadar Pulangan (ROR) x Kadar Keuntungan (PSR) = Keuntungan setahun
100
Katakanlah kadar keuntungan bank adalah 3, justeru “indicative” atau andaiannya seperti berikut :-
3 X 70 (pelanggan) = 2.10
100
Maka, jumlah 2.10 % inilah yang akan di paparkan oleh Bank bagi memaparkan prestasi akan datang Bank. Ia hanyalah andaian dan tidak menjadi kewajiban bagi Bank memberikan pulangan dengan kadar di atas.
Perlulah sedari, seseorang yang menyimpan atau melabur wangnya di dalam akaun di bank konvensional pastinya akan mendapat saham keburukan hasil sokongan langsungnya dari wang depositnya itu, sama ada mereka menyedarinya atau tidak.
________________________________________
[1] Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Tahrim ar-Riba wa Tanzim Iqtisadi
[2] Al-Qaradawi, Fawaid Al-Bunuk Hiya Ar-Riba Al-Haram, , Muassasah Ar-Risalah, hlm44,
[3] Tahrim ar-Riba, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, hlm 55 ; Ar-Riba wal Mua’malat al-Masrafiah, ibid, hlm 167 ; Hikmatu at-Tasyri’ al-Islami fi Tahrim ar-Riba, Dar as-Sahwah, cet 2, 1407 H, hlm 63 ( dengan pindaan dan tambahan) )
[4] An-Nadawi, al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Dar al-Qalam, hlm 343
[5] Az-Zuhayli, Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, hlm 494
[6] As-Syawkani, Naylul Awtar, 5/232 ; az-Zayla’ie, Nasb ar-Rayah, 4/60 ; Ramai yang menyebut ia adalah hadith Nabi, tetapi setelah dianalisa, terdapat perawinya bernama Sawwar Bin Mus’ab yang lemah dan di anggap “matruk”. Bagaimanapun makna yang terkandung di dalamnya disepakati penerimaannya di kalangan ulama kerana disokong oleh pelbagai dalil lain.
[7] Al-Mughni, 4/318.

Pelaburan Emas Dan Jual Beli Emas.
******************************
Pelaburan Emas
**************
Apabila seseorang pelanggan ingin membuka akaun pelaburan emas, ia bererti ia bersetuju untuk membeli emas, simpan dan mungkin menjualnya apabila harga emas meningkat.
Oleh kerana itu, hukum bagi sebarang jenis akaun pelaburan jenis emas ini bergantung kepada beberapa keadaan, bagi memberikan sedikit kefahaman kepada pembaca berkenaan keadaan-keadaan berbeza ini, ia adalah seperti berikut :-
• HARAM DAN BATAL : Jika emas itu belum berada dalam pemilikan bank dan hanya akan dibeli daripada pihak ketiga dalam majlis transaksi yang berasingan. Urusniaga pembukaan akaun itu telah menjadi HARAM dan tidak SAH, kerana pihak bank telah menjual emas yang tiada di dalam miliknya dan juga kerana riba telah berlaku apabila tiadanya elemen ‘Taqabud fil Majlis’ (serah terima dalam satu masa), sebarang penangguhan membawa kepada Riba an-Nasi’ah.
Kesimpulan ; pastikan emas yang ingin dijual mestilah berada dalam pemilikan pihak bank tersebut.
• HARAM DAN BATAL : Iaitu jika emas BELUM atau TIDAK diterima serta-merta ketika membuka akaun pelaburan emas itu.
Sebagai contohnya, pelanggan hanya yang membayar sejumlah wang untuk membeli emas 100 gram dan memulakan akaunnya, namun pihak bank tidak memberikan sebarang bukti pembelian telah termeterai dengan rasminya atau ‘concluded’. SERTA tiada sebarang jenis bukti bertulis yang menunjukkan pelanggan kini menerima ‘hak tasarruf’ (hak kebebasan terhadap sejumlah emas yang telah dibelinya sama ada untuk menjualnya pada bila-bila masa yang dikehendakinya).
• HALAL DAN SAH :
Setelah anda membaca dua bentuk yang jatuh haram, sudah tentu anda mampu memastikan bagaimana bentuk akaun pelaburan emas yang halal dan sah. Iaitu :-
a. Bank memiliki emas yang dijual semasa menjual.
b. Bank memberikan bukti dan hak tasarruf kepada pelanggan sama ada dalam bentuk fizikal emas atau bentuk sijil hak ke atas sejumlah emas (yang telah dibeli), yang mana sijil itu melayakkan pelanggan itu menuntut emasnya secara fizikal pada bila-bila masa yang dikehendakinya. Ini bermakna sijil itu ibarat sebuah kad debit dan cek yang mewakili duit fizikal yang wujud. Penyerahan menggunakan sijil hak milik emas sebagai tanda pembeli dan pembukaan akaun sudah sempurna adalah SAH DAN HARUS di sisi Islam. Ia dianggap sebagai penyerahan tidak fizikal (al-Qabdh al-Ma’nawi) Demikian fatwa oleh Majlis Fiqh Antarabangsa dalam keputusan mereka nombor 84, 9/1 (Qararat Wa Tawsiat, hlm 191)
DALAM KES AKAUN PELABURAN EMAS DI BANK ?
Setelah melihat serba ringkas info akaun pelaburan emas di kedua-dua bank terbabit melalui web mereka, boleh dianggap Maybank menawarkan akaun pelaburan emas yang HALAL dengan TIGA lagi syarat tambahan lagi, iaitu :
1- JANGAN DIGUNAKAN UNTUK AKTIVTI RIBA : mestilah emas sebenar (fizikal) yang berada simpanannya bagi pihak pelanggan tadi TIDAK digunakan untuk kegunaan aktiviti ribawi mereka. Justeru, satu jaminan atau pengesahan dari pihak bank mestilah diperolehi sama ada secara lisan atau bertulis atau disahkan oleh Majlis Syariah bank berkenaan.
Apabila kita menyimpan emas fizikal yang telah kita beli di bank tersebut, aqad simpanan itu juga sepatutnya mesti dikenal pasti dengan jelas. Apakah jenis aqadnya? Adakah ia Wadiah? atau Qard dan sebagainya.
2- JUMLAH EMAS MENCUKUPI KETIKA TRANSAKSI : Mestilah dipastikan wujud jumlah emas mencukupi ketika proses jual beli dibuat pada satu-satu masa.
Sebagai contoh : Bank mempunyai 100 kilo emas sahaja, dalam masa yang sama (satu waktu), 100 kilo emas itu digunakan untuk dua atau lebih pelanggan yang berlainan.
Pelanggan Ahmad membeli 100 kilo emas pada jam 2.30 petang, demikian juga sdr Ah Chong tepat jam 2.30 petang juga membeli dan membuka akaun yang sama di kaunter berlainan, padahal bank hanya mempunyai 100 kilo emas sahaja. Tatkala itu, transaksi orang kedua tidak sah. Hanya yang pertama sahaja yang sah.
3- CARA PEMBAYARAN YANG HALAL : Pembayaran yang dibuat oleh pihak pelanggan pula WAJIBLAH menggunakan sama ada tunai, debit akaun sertamerta, kad debit dan kad kredit Islam bank tempatan, cek tempatan.
Sebarang pembayaran menggunakan cek antarabangsa dan kad kredit Islam yang mengambil masa lebih 3 hari untuk settlement adalah TERLARANG menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa.
Mengapa 3 hari? ia adalah tempoh maksimum menurut ‘urf bagi memastikan syarat ‘Taqabud fil hal’ tercapai, ia adalah fatwa yang dipetik dari pandangan Mazhab Maliki dan juga fatwa kebanyakan ulama fiqh sedunia, termasuk Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah.
4- PEMEGANG AKAUN PELABURAN EMAS MESTILAH MEMBAYAR ZAKAT EMASNYA: Apabila cukup hawl atau tempoh setahun bulan Islam dan apabila nisab simpanannya mencapai atau melebihi nisab, wajib keluar zakat emas iaitu 85 gram.
Namun akaun pelaburan Public Bank , keadaannya kurang pasti kerana tidak dinyatakan sama ada sijil atau bukti pembelian itu boleh ditukarkan kepada emas fizikal pada bila-bila masa yang dikehendaki. Malah penyoal menyatakan beliau telah menelefon pihak bank dan terbukti sijil atau bukti pembelian itu tersebut TIDAK BOLEH ditukar kepada emas fizikal. Tatkala itu, transaksi ini bermasalah dari sudut hukum Islam.
Jika sijil tersebut tidak boleh ditukar kepada emas fizikal, tatkala itu ia memberikan kesan kepada proses ‘Taqabud al-hukmi’ yang disyaratkan dalam jual beli item ribawi dan merosakkan aqad ini, dalam kes ini antara emas dan wang Ringgit Malaysia.

Jual Beli Emas Secara Ansuran.
1. Jual beli emas secara ansuran adalah HARAM. Semua ulama empat mazhab ittifaq mengHARAMkan jual beli barangan emas secara ansuran dan hutang.
Bagaimanapun, terdapat pandangan yang mengatakan ia bukan lagi dianggap emas kerana telah dibentuk. Tetapi semua empat mazhab menolak hujah ini kerana gelang, cincin, rantai emas itu, walaupun telah dibentuk, ia masih lagi emas dan tidak akan terkeluar dari sifat emasnya. Ia juga adalah pendapat sahabat Nabi saw seperti Ibn ‘Umar, ‘Ubadah bin Somit dan disokong oleh beberapa ulama kontemporari seperti Prof. Dr Muhydin Qurah al-Daghi, Prof Dr Ahmad al-Kurdi, Prof Dr ‘Ali Salus. Prof. Dr Muhd Sa’id Ramadhan Al-Buti dan ramai lagi.
Ibn Abd al-Barr dalam al-Istizkar menyatakan telah berlaku ijma’ (kesepakatan seluruh mujtahid) mengatakan bahawa emas dengan emas seperti dalam bentuk ‘at-tibr’ (serbuk) dan apa jua bentuk emas tersebut, hukumnya tetap tidak harus berlaku sebarang tafadhul (tambahan dari mana-mana pihak yang berurusniaga), demikian juga perak. Justeru tidak harus membelinya secara ansuran dan hutang.
Al-Khatib As-Sharbini dalam Mughni al-Muhtaj (2/25) mengatakan bahawa hasil pembuatan atau tukangan emas hingga menjadi barang kemas berbentuk itu tidak memberi sebarang kesan kepada hukum emas yang asal.
2. Pandangan Lemah : Harus.
Bagaimanapun terdapat satu pendapat minoriti ulama yang mengatakan bahawa emas tulen apabila ia telah dibentuk sehingga menjadi rantai, gelang dan cincin, maka ia telah menjadi sil’ah (barangan dagangan seperti kereta kerana terdapat proses pembentukan dan pembuatan) dan tidak lagi dianggap sebagai emas biasa, justeru hukumnya juga berubah iaitu menjadi HARUS.
Pandangan minority ini dikatakan adalah pandangan adalah pendapat Mu’awiyah (Rujuk riwayat ini dalam Al-Muwatta oleh Imam Malik dlm kitab Buyu’ no 2541; An-Nasaie 7/279 ; Al-Bayhaqi 5/280, tapi Abu Darda telah menegur Mu’awiyyah kerana pandangannya bersalahan dengan nas hadith dan kemudian mengadu ke Sayyidina Umar, dan Umar juga mengharamkan), Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim (I’lam al-Muwaqqi’ien, 2/141 utk pendapat Ibn Qayyim dan rujuk kitabnya Tafsir ayat Asykalat untuk pendapat Ibn Taymiah 2/632 tapi jika dirujuk Majmu’ al-Fatawa kita akan dapati Ibn Taymiah bersama pendapat jumhur). Menurut kumpulan ini adalah HARUS untuk menjual dan membelinya secara hutang dan ansuran kerana ia telah jadi sil’ah (barang dagangan).
Ia disokong Prof Dr. Mahmud ‘Akkam dari Syria dan disetujui oleh As-Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi (kerana ‘umum al-balwa – perkara maksiat yang kurang mudarat tetapi terlampau meluas dan sukar untuk dihalang).
Mereka semua menyokong apa yang disebut oleh Ibn Rushd al-Maliki (w 595H) (Rujuk Bidayatul Mujtahid 2/103) yang mengatakan bahawa: “perhiasan emas dan perak sudah terkeluar dari kategori emas tulen (yang tertakluk kepada hukum tukaran emas dalam Islam), justeru harus menjual dan membelinya walaupun secara tangguh.
Ibn Muflih al-Hanbali (w 763H) pula berkata (rujuk al-Mubdi’, 4/149) : “Sesungguhnya ia telah keluar dari sifat asal dengan sebab sun’ah (pembuatan dan pertukangan).”
Dalil-dalil jumhur dari pelbagai hadith, boleh rujuk di dalam kitab Az-ziyadah Wa atharuha fi al-Mu’awadah al-Maliyyah oleh Dr. ‘Abd Ra’ouf Bin Muhammad al-Kamali (tesis PhD di Univ Imam dengan tahap Mumtaz, 2/558). Kami berpendapat, pendapat kedua ini salah, daif, sangat lemah dan batil.
Kesimpulan dan pandangan Rajih (kuat dan terpilih) : Hukum barang kemas adalah sama dalam hal ini adalah HARAM, kerana ia tetap emas pada pandangan majoriti, lalu setiap pembelian dan penjualan yang dibayar menggunakan duit maka Kesatuan Fiqh Sedunia telah memutuskan bahawa matawang kertas adalah ‘nuqud istilahiah’ yang sama hukum hakamnya dengan emas, maka jual beli barang kemas dengan wang adalah nuqud dengan emas, maka wajib taqabud boleh tafadhul kerana tidak sama jenis.
b- ‘Trade in’ Emas Lama Dengan Emas Baru.
Jelas menurut perbahasan hukum bahawa ‘trade in’ emas lama dengan yang baru atau barang kemas emas lama dengan yang baru mestilah mengikut hukum yang dibincangkan di atas, iaitu menurut majoriti ulama setiap barang kemas tetap dianggap emas dan bukan sil’ah, maka bila seseorang ingin menukarnya dengan barang kemas baru emas yang lain. Ia mesti punyai dua syarat tanpa khilaf (Boleh rujuk pelbagai kitab antaranya al-Mu’amalat al-Maliyyah al-Mu’asirah oleh Prof Dr Ali Salus, hlm 180 ; Al-Buyu’ al-Sya’iah oleh Dr Tawfiq al-Buti dan lain-lain), iaitu :
i) Mutamathilan – mesti sama berat timbangannya. Manakala standard emas tersebut (‘Iyar) 20 atau 21 atau 24 tidak memberikan sebarang kesan. Ia adalah berdasarkan hadith yang menyebut tentang tamar khaibar (yang kurang elok atau buruk) yang ditukar dengan tamar Janib (yang elok) yang mana ianya mesti menuruti syarat sama berat walaupun berbeza kualiti. Hadith ini riawayat al-Bukhari dalam kitab al-Buyu’, no 4553. Jika tidak Riba Al-Fadl akan berlaku.
ii) Mesti ‘Taqabud fil hal aw Taqabud fil majlis’ ( diserah dan terima dalam satu masa) – kerana ia adalah tertakluk kepada hukum sarf (tukaran matawang dengan matawang), maka tidak dibenarkan untuk menangguh masa serahan. Justeru, mestilah kita menyerahkan emas lama, dan kemudian penjual menyerahkan emas baru yang sama berat pada ketika itu juga. Jika tidak, Riba Nasi’ah akan berlaku.
Mungkin ada yang akan bertanya, jadi kalau kita ingin melakukan ‘trade in’ dengan emas baru yang lebih mahal harganya?? Bagaimana kita mahu membayar tambahan harga itu?
Jawabnya : Ia sama dengan kes dalam hadith Tamar Khaibar dan Janib tadi. Jawapan yang diberi oleh Rasulullah SAW adalah : “Juallah dengan sempurna , ambillah harganya dan kemudian belilah semula dengan duit kamu tadi”
Jelas, caranya : mestilah seseorang yang ingin melakukan ‘trade in’. menjual terlebih dulu kepada pekedai emas itu, lalu ia mestilah mengambil duit harga rantai lama itu, cth harga seutas rantai emas lama kita rm2000 dan beratnya 200 gram, apabila kita ingin trade in dengan rantai berharga rm2500, maka kita mesti jual dulu, lepas kita pegang duit rm2000, barulah kita pilih rantai baru dan kemudian tambah dgn rm 500, kemudian pembeli membayar kepada pekedai lalu mengambil rantai baru itu.
Kemungkinan jika transaksi seumpama ini di buat di Malaysia, ia akan kelihatan pelik. Bagaimanapun itulah cara yang selamat dari Riba.
*************
SOALAN BAB 7
1.Bagaimanakah riba boleh berlaku dalam Akaun Simpanan? Huraikan.
2.Bagaimanakah riba boleh berlaku dalam Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account)? Jelaskan.
3.Apakah perbezaan antara akaun simpanan di bank konvensional dan bank Islam?
4.Bagaimana trade in emas yang halal? Huraikan.
5.Jual beli emas secara ansuran adalah pendapat yang sangat daif. Siapakah tokoh yang memandangnya sebagai harus? Sebutkan hujah-hujah mereka.

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: