Arabiyy

Tegakkanlah Agama Dan Janganlah Kamu Berpecah Belah

Fiqh Kontem Bab 5 : Saham, ASB dan ASN.

Tajuk 5 : Saham
Saham merupakan bukti hak milik ke atas sesuatu syarikat atau perusahaan dalam bentuk perseorangan terbatas.
Terdapat 3 jenis saham iaitu :-
1. Risiko terhad “limited risk”,
2. Pengawalan sepenuhnya “ultimate control”,
3. Tuntutan baki “residual claim.”
Takrif saham
Saham biasanya merujuk kepada perkongsian hak milik dalam syarikat. Pemilik dan penyokong pembiaya sesuatu syarikat mungkin membuat keputusan untuk menjual syarikat untuk mendapat wang. Bagaimanapun ini biasanya mengakibatkan kehilangan kawalan ke atas syarikat tersebut.
Selain daripada menjual saham, mereka boleh menjual syarikat, atau sebahagian daripadanya, kepada ramai separuh pemilik. Pembelian satu saham membolehkan pemilik saham untuk berkongsi hak milik dalam syarikat tersebut, termasuk hak untuk sebahagian harta syarikat, sebahagian daripada kuasa membuat keputusan, dan peluang untuk sebahagian daripada keuntungan, yang syarikat mungkin berikan sebagai dividen. Bagaimanapun, pemilik asal syarikat sering masih mengekalkan kawalan ke atas syarikat, dan boleh menggunakan wang hasil penjualan saham untuk membangunkan syarikat.
Adalah perkara biasa, apabila terdapat beribu-ribu pemegang saham, ia tidak pratikal untuk semua mereka membuat keputusan dalam urusan harian syarikat. Oleh itu, pemegang saham akan menggunakan saham mereka sebagai undi dalam perlantikan ahli lembaga Pengarah sesebuah syarikat.
Adalah perkara biasa, apabila terdapat beribu-ribu pemegang saham, ia tidak pratikal untuk semua mereka membuat keputusan dalam urusan harian syarikat. Oleh itu, pemegang saham akan menggunakan saham mereka sebagai undi dalam perlantikan ahli lembaga Pengarah sesebuah syarikat.
Walaubagaimanapun, pemilihan adalah dibuat oleh orang dalaman lembaga tersebut atau semua ahli lembaga, dan akhirnya eksekutif atasan akan menjadi ahli lembaga-lembaga yang lain (sila lihat http://www.theyrule.net untuk contoh). Setiap saham mewakili satu undian (kecuali dalam satu koperasi dimana setiap ahli mendapat hanya satu undi walaupun dia mungkin memegang lebih daripada satu saham), mereka boleh mengundi keluar sesiapapun. Oleh itu, mereka mempunyai kawalan keatas syarikat tersebut.
Saham biasanya diperdagangkan di bursa saham, di mana orang dan organisasi boleh menjual dan membeli saham pelbagai jenis syarikat. Sesuatu syarikat biasanya hanya berdagang saham miliknya dalam satu pasaran, dan dikatakan disenaraikan di pasaran saham tersebut.
Opsyen saham merupakan hak untuk membeli saham niaga hadapan pada harga yang ditetapkan. Lazimnya, stok ini adalah sebahagian pakej pampasan pekerja yang ditawarkan kepada eksekutif-eksekutif utama. Setengah syarikat menawarkan opsyen saham kepada kesemua (atau hampir kesemua) pekerjanya. Ini boleh dilihat sewaktu ledakan syarikat-syarikat dot-com sewaktu akhir tahun 1990-an dimana pampasan yang paling utama yang diberi kepada pekerjanya adalah dalam tambahan opsyen saham, dan bukannya gaji. Namun, sehingga kini ia masih merupakan galakan utama kepada golongan Ketua Pegawai Eksekutif. Teori disebalik tawaran saham ini kepada eksekutif dan pekerjanya ialah ia boleh menaikkan dorongan mereka kerana nilai saham bergantung kepada prestasi syarikat. Oleh sebab itu, kewangan mereka boleh bertambah sekiranya prestasi syarikat ditingkatkan.
Syarikat pertama yang menerbitkan saham ialah Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada 1602.
SPEKULASI SAHAM

Hokum Saham – harus.

ASB ASN
Hukum Pelaburan Dalam Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Skim yang seumpamanya berserta dengan dividen dan bonus yang diterima daripada pelaburan tersebut adalah harus.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.
Keterangan dan Hujah:

1. Hifz al-mal merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah. Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan salah satu faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam. Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudharatan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.

2. Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar. Dalam hal ini, Maybank adalah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik. Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Melayu Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan Bumiputera Islam juga akan turut terjejas

3. Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengenepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.

4. Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan. Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambilkira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.

5. Dalam isu pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi. Percampuran hanya berlaku dalam sektor kewangan di mana 70% pelaburan menepati syariah, hanya 30% sahaja pelaburan dalam Maybank yang dianggap masih tidak comply dengan syariah. Dalam keadaan ini, pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram. Menurut sebahagian besar fuqaha’ iaitu Hanafi, Maliki, Shafi‘i dan Hanbali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas. Ini kerana fuqaha’ muktabar tidak mengharamkan syarikat sedemikian ketika menilai status syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam.

6.PNB telah melaksanakan perubahan yang terbaik khususnya dalam aspek pelaburan bagi membolehkan penguasaan umat Islam. Dalam hal ini, maslahah umat Islam adalah penting dan kemudharatan yang lebih besar perlu dielakkan.

Adakah pelabur ASB wajib mengeluarkan zakat sendiri sekiranya cukup nisabnya dan jika dikenakan zakat bagaimanakah cara pengiraannya dan pembayarannya.
Keputusan:

Pihak ASN bolehlah dianggap syarikat perniagaan dan pencarum adalah ahli-ahli syarikat. Jika pihak ASN tidak mengeluarkan zakat maka ahli-ahlinya wajib mengeluarkan zakat mengikut saham dan keuntungan yang diterimanya apabila cukup nisab dan haul, iaitu 2.5 peratus daripada modal dan keuntungan. Nisabnya mengikut pasaran semasa emas 85 gram. Zakat hendaklah dibayar daripada amil yang dilantik.

Fatwa Bahagian Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Ada empat (4) fatwa mengatakan ASN harus atau tidak haram. Iaitu Majlis Fatwa Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Manakala, ada 3 fatwa menghukumkan ia haram iaitu Fatwa Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.

Surat dari Suruhanjaya Sekuriti mengenai ASB pula mengatakan ia tidak patuh syariah.

HUKUM PELABURAN DI ASB, ASN DAN SEUMPAMANYA
Di Selangor hukum pelaburan di ASB, ASN dan seumpamanya adalah seperti berikut:

“Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-

1. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud
Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ”

2. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah (riba) melalui Maybank dan pasaran wang.

3. Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.”

Pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya di syarikat konvensional adalah seperti berikut:

a. Malayan Banking Berhad 28.49%
b. Fraser & Neave Holdings Berhad 0.95%
c. PNB Structured Investment Fund 0.87%
d. British American Tobacco (Malaysia Berhad) 0.78%

Sehingga kini, semua dana amanah di bawah PNB tidak diklasifikasikan mematuhi syariah. Jika menurut kayu ukur (benchmark) peratusan pelaburan haram dalam sesebuah syarikat yang dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti hendaklah pada kadar yang minima dan boleh dimaafkan. Walau bagaimanapun, jumlah pelaburan ASB, ASN dan seumpamanya itu telah melebihi daripada tanda aras yang dibenarkan dan sudah menjadikan pelaburan haram menguasai dana pelaburan ASB. Ini menyebabkannya menjadi haram.

Bagaimanapun satu aspek kritikal yang perlu juga diambil kira dalam mengesahkan pelaburan ASB ialah berkenaan aspek akad pelaburan yang digunakan. Adakah ia mudabarah atau musyarakah atau jenis apa? Jika mudarabah, perlu diingat bahawa jika akadnya tidak sah dari sudut syara’ maka seluruh pelaburan adalah batal tanpa mengira dalam industri halal atau haram ia dilaburkan.

Maka setelah dirujuk ke PNB dan buku prospektus ASB kita dapati bahawa termaktub bahawa modal (capital) pelaburan ASB adalah dijamin oleh PNB yang bermakna syarat dalam akad pelaburan ini telah bercanggah dengan syarat pelaburan Mudarabah dalam Islam.

Menurut Mazhab Syafie, akad pelaburan tadi adalah batal. Malah modal pelaburan tidak boleh dijamin oleh pihak yang menguruskan pelaburan juga difatwakan oleh Majma’ Fiqh Islami atau OIC Islamic Fiqh Academy dalam konvensyen ke-9 yang mana telah diputuskan bahawa jaminan modal hanya dibenarkan jika ia datang dari pihak ketiga. Dan dengan syarat ia tidak dimasukkan di dalam kontrak mudarabah.

Adakah perkara ini dipelihara oleh ASB? Tidak sama sekali kerana mereka langsung tidak mempunyai Penasihat Syariah. Secara mudahnya, untuk mengenalpasti sesuatu institusi kewangan itu mematuhi syariah atau tidak, sila rujuk sama ada institusi itu mempunyai panel Penasihat Syariah ataupun tidak. Sekiranya Malaysia ingin menjadi Global Islamic Banking and Finance Hub sebagaimana diwarwarkan, PNB harus diislamisasikan terlebih dahulu. Konsep mudarabah mesti digunakan dalam pelaburan mereka dan pelaburan mestilah di kaunter halal sahaja.

Menurut Prof Madya Dr. Mohamad Akram Laldin bahawa keseluruhan dana ASB tidak cukup jika diletakkan di Bank Islam sahaja. Ini kerana dana ASB besar. Oleh yang demikian, mereka terpaksa meletakkannya di Maybank. Sedangkan di Maybank, ada percampuran perbankan islam dan konvensional.

Maka di situlah punca ada sesetengah ulama mengahtakata bahawa percampuran ini tidak boleh dielakkan dalam keadaan masa kini dan memfatwakan ASB sebagai harus atau tidak haram. Tapi ada ulama tidak menerimanya.

Fatwa yang mengharuskan atau tidak mengharamkannya memandang dari sudut maslahah, ‘umum balwa dan percampuran unsur tidak patuh syariah yang kecil. Mereka melihat dari sudut makro. Fatwa yang mengharamkannya pula melihat dari sudut mikro. Allahu a’lam.

SOALAN
Apakah makna saham (share)?
Apakah hujah golongan mnegtakan asb adalah harus?
Apakah hujah yang mengharamkan asb dan asn?

Advertisement

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: