Arabiyy

Tegakkanlah Agama Dan Janganlah Kamu Berpecah Belah

Objectives of Shari’ah Law

Secara umum, ada tiga atau 4 objektif utama dalam hukuman atau keseksaan jenayah Islam atau Undang-Undang Jenayah Islam iaitu:

1. Pembalasan (al-Jaza’ wa al-‘Uqubah)

Secara umumnya,ia memberi pengertian bahawa penjenayah perlu dikenakan pembalasan yang setimpal dengan apa yang dilakukannya tanpa memandang sama ada hukuman itu berfaedah atau sebaliknya untuk dirinya atau masyarakat. Ini sesuai sekali dengan konsep keadilan yang memerlukan seseorang itu mendapat pembalasan yang sesuai dengan apa yang dilakukannya.
Firman Allah s.w.t:
وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ (40)

Maksudnya: Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya. (Surah ash-Shuura:40)

Istilah pembalasan (al-jaza’) ini banyak digunakan oleh Al-Quran dalam jenayah-jenayah hudud.
وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُمْ بِهِ وَلَئِنْ صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِلصَّابِرِينَ (126)
Mengenai jenayah mencuri. Allah s.w.t berfirman:

Maksudnya: Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka hukumnya potonglah tangan mereka sebagai balasan dengan sebab apa yang telah mereka usahakan; juga sebagai suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan ingatlah Allah Maha Kuasa Lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Maaidah:38)

Mengenai kesalahan merompak pula Allah s.w.t berfirman:

Maksudnya: Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangai Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh(kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang(kalau mereka membunuh dan merampas),atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bersilang(kalau mereka merampas sahaja) atau dibuang negeri(kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum).Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar. (Surah al-Maa’idah:33)

Objektif pembalasan ini dapat dilihat dengan jelas terutamanya pada hukuman-hukuman atau keseksaan-keseksaan yang tidak boleh dimaafkan seperti kesalahan hudud. Contoh yang jelas bagi tujuan ini ialah kes Fatimah al-Makhzumiyyah yang telah mencuri. Terdapat sebahagian daripada para sahabat Rasulullah s.a.w yang berusaha supaya wanita berkenaan dilepaskan daripada tindakan hukuman. Ini telah menimbulkan kemarahan Rasulullah s.a.w.
Baginda bersabda:

“Musnahnya orang-orang yang sebelum dari kamu semua ialah kerana apabila seorang yang mulia dari kalangan mereka mencuri, mereka biarkan begitu sahaja. Tetapi apabila orang yang lemah dari mereka mencuri, mereka akan mengenakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Kalau Fatimah binti Muhammad mencuri sekalipun,aku akan potong tangannya”. (Riwayat Muslim, An-Nasa’i dan Ahmad dari Aishah)

2. Pencegahan (Zajr wa Takhwif).

Maksudnya ialah untuk mencegah jenayah daripada berulang lagi. Dalam Al-Quran sendiri, ada terdapat beberapa ayat yang secara jelas memberi isyarat kepada objektif pencegahan ini. Antaranya ialah firman Allah s.w.t:
وَمَا نُرِيهِم مِّنْ آيَةٍ إِلَّا هِيَ أَكْبَرُ مِنْ أُخْتِهَا ۖ وَأَخَذْنَاهُم بِالْعَذَابِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (48)

Maksudnya: “Dan tidaklah kami memperlihatkan kepada kamu sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa melainkan tanda itu adalah lebih terang dari yang terdahulu daripadanya dan kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana) supaya mereka kembali (bertaubat).”
(Surah Az-Zukhruf:48)

Menghuraikan pengertian ayat ini, Dr. Abu al-Ma’ati Hafiz Abu al-Futuh berpendapat bahawa sesungguhnya azab Allah yang dikenakan ke atas manusia di dunia ini bukanlah matlamat yang sebenar. Segala apa yang menimpa manusia sama ada pada harta bendanya atau diri dan nyawanya bukanlah tujuan yang sebenar. Sesungguhnya yang menjadi matlamat dan tujuan dariapad semua azab itu ialah sebagai satu peringatan dari Allah s.w.t kepada manusia supaya dengan itu dapat mencegah mereka daripada melakukan kejahatan dan kesesatan.
Maka, mereka akan kembali mentaati Allah s.w.t seterusnya mereka beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat. Jadi segala azab itu adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia sendiri dan bukannya azab itu sendiri yang dimaksudkan. Hukuman Islam bukan semata menghukum dan mencegah bahkan juga mendidik. Ini terkandung di sebalik firman Allah yang bermaksud:

“Mudah-mudahan mereka kembali ke jalan Allah yang benar” (az-Zukhruf:48)

Pencegahan yang menjadi objektif kepada hukuman-hukuman ini dapatdilihat dari dua aspek; Pencegahan umum dan pencegahan khusus. Pencegahan umum ditujukan kepada masyarakat secara keseluruhannya. Lebih jauh lagi ia membawa erti usaha-usaha menegah segala unsure yang boleh membawa kepada kejahatan,sama ada dari dalam diri manusia ataupun unsur-unsur luar diri yang dapat mempengaruhi manusia untuk melakukan kejahatan.
Bagi tujuan ini,amaran-amaran keras dengan janji-janji azab yang pedih telah dibuat oleh syariat Islam dengan harapan,ia dapat menghapuskan segala unsur yang boleh membawa kepada berlakunya kejahatan.

Usaha-usaha pencegahan umum ini,tidak ditujukan hanya kepada orang-orang tertentu sahaja tetapi sebaliknya kepada semua masyarakat manusia. Ini kerana segala unsur yang boleh mendorong manusia kea rah melakukan kejahatan tidak hanya ada pada orang-orang tertentu sahaja tetapi juga pada semua orang. Begitu juga unsur-unsur tersebut tidak hanya ada pada suasana dan keadaan tertentu sahaja tetapi dalam banyak suasana dan keadaan.
Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: Dihiaskan(dan dijadikan indah)kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan, anak-pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan di dunia. Dan ingatlah pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya(iaitu Syurga). (Surah A-li ‘Imran:14)

Jadi keinginan kepada perkara-perkara seperti ini tidak hanya ada pada sesetengah orang, tetapi sebaliknya merupakan sifat semula jadi yang dibekalkan oleh Allah s.w.t kepada semua manusia. Persoalannya,sejauhmanakah manusia dapat menghadapi segala keinginan yang disebut sebagai punca kejahatan ini terutama perasaan yang mendalam dalam diri sendiri?. Di sinilah letaknya kepentingan-kepentingan amaran dan ugutan kerana ia cukup berkesan dalam usaha-usaha pencegahan seperti ini.

Pencegahan umum dalam sifatnya ini terdapat pada semua jenis hukuman atau keseksaan yang diperuntukkan oleh undang-undang Islam, sama ada yang berbentuk hudud, qisas, dan diyat ataupun ta’zir. Ini kerana keseluruhan hukuman atau keseksaan ini mengandungi unsur-unsur kesakitan yang membuat manusia berasa takut untuk menghadapinya. Walaupun terdapat kemungkinan maaf daripada pihak mangsa, namun ia tidak boleh menafikan keberkesanan pencegahan ini. Ini kerana selain dari kemaafan itu tidak boleh dibuat dalam kes-kes seperti hudud,ia juga hanya satu kemungkinan sahaja.

Sementara aspek kedua daripada pencegahan ini ialah pencegahan khusus. Ia lebih merupakan pemulihan bagi orang-orang tertentu yang sememangnya sudah terlibat dengan kejahatan. Pencegahan khusus ini mempunyai dua matlamat asas.
• Pertama, mengenakan hukuman ke atas pesalah yang telah melakukan jenayah berkenaan.
• Kedua, mencegah pesalah berkenaan daripada mengulangi kesalahan yang sama dan kesalahan-kesalahan lain lagi pada masa yang akan datang.
Walau bagaimanapun matlamat yang kedua ini lebih penting, kerana dalam melaksanakan hukuman ke atas pesalah bukanlah keseksaannya dan azab itu sendiri yang menjadi pokok utama, tetapi sebaliknya kesedaran yang mengembalikan pesalah berkenaan kepada jalan kebenaran dan yang menjauhkannya daripada jenayah itulah yang diutamakan. Ini ternyata dari firman Allah s.w.t yang berbunyi:
وَأَخَذْنَاهُم بِالْعَذَابِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (48)

Maksudnya: “Dan kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana) supaya mereka kembali (bertaubat).” (Surah Az-Zukhruf:48)

Tidak seperti pencegahan umum,sifat pencegahan khusus ini tidak semestinya ada dalam setiap hukuman atau keseksaan yang dilaksanakan ke atas pesalah. Contohnya, hukuman bunuh balas, tidak wujud padanya erti pencegahan bagi pesalah yang dikenakan hukuman demikian. Ini kerana dengan terlaksananya hukuman berkenaan, dia telah mati.
Bagi mencapai matlamat pencegahan khusus ini,hukuman yang dikenakan mestilah sesuai dengan kesalahan yang dilakukan.Ia jangan terlalu ringan dan jangan terlalu berat. Hukuman atau keseksaan yang terlalu ringan tidak banyak meninggalkan kesan terhadap sikap manusia. Sebaliknya hukumannya terlalu berat juga akan menghilangkan matlamat pencegahan tadi.
3. Pemulihan

Satu lagi objektif penting daripada keseksaan dalam undang-undang Islam ialah pemulihan. Ini jelas daripada objektif pencegahan khusus sepertimana yang dihuraikan di atas. Malah,sebahagian para penyelidik berpendapat,tujuan pemulihan merupakan objektif paling asas dalam undang-undang Islam.
Menjelas pandangannya mengenai hal ini, ‘Abd al-Aziz Amir berkata: “Tidak keterlaluan kalau saya katakana bahawa pendidikan,pemulihan,bimbingan,dan taubat penjenayah ini telah diletakkan pada tempat yang pertama sekali sehingga keengganan orang ramai untuk melakukan jenayah akan berasaskan kepada kesedaran beragama dan dorongan diri sendiri dan bukannya kerana takutkan hukuman.”

Di samping itu, pemulihan juga merupakan suatu penyediaan suasana ke arah penerimaan kembali penjenayah ke dalam masyarakat.Ini dapat dilihat dalam hukuman-hukuman seperti penjara dan buang daerah. Berasaskan kepada objektif inilah maka terdapat pandangan para fuqahayang berpendapat bahawa tempoh hukuman akan terus dilanjutkan sehingga ternyata penjenayah berkenaan telah benar-benar bertaubat. (Dr Paizah Ismail:2004: 107-112).
Al-Imam Ibn al-Qayyim menjelaskan dalam I’lam al-Muwaqqi’in bahawa dalam ‘uqubat terdapat az-zajr, al-‘uqubah, al-nakal (pencegahan), dan al-tahir (penyucian).
4. Rahmat dan Ihsan untuk manusia.
Al-Imam Abu al-‘Abbas al-Harrani berkata, “Tidak syak lagi bahawa hukuman-hukuman shar’iyyah disyariatkan sebagai rahmat Allah kepada para hambaNYA, dan ihsan (kebaikan) kepada mereka. Pemerintah yang menjatuhkan dan melaksanakan hukuman mestilah seperti ayah yang mendidik anaknya dan seperti doktor mengubati pesakit.”

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: