Arabiyy

Tegakkanlah Agama Dan Janganlah Kamu Berpecah Belah

Archive for the day “December 5, 2009”

Tinggal Jumaat Ketika Hujan Lebat

Jumaat ketika hujan lebat

Soalan

Akm wbt. Bolehkah meninggalkan solat Jumaat ketika hujan lebat dan solat Zuhur di rumah? Suhaimi, Kuala Kangsar.

Jawapan

Hujan termasuk rukhsah yang membolehkan seseorang muslim meninggalkan solat Jumaat dan jamaah. Ini kerana Islam mahu mengelakkan haraj (kesusahan) dari membebankan umatnya. Adakalanya istiqamah beribadat boleh mendatangkan bosan dan malas.

Berkata ‘Abd al-Rahman ibn Samurah ra, Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda, “Apabila hujan lebat, maka solatlah kamu di rumahnya.”
Riwayat ‘Abdullah ibn Ahmad, disebut oleh al-Haythami dalam Zawa’id al-Musnad, hadith 875. Abu Dawud menganggap hadith ini bagus dan memandang Nasih ibn al-‘Ala’ sebagai thiqah.

Wanita Haram Solat di Masjid?

Perempuan haram solat di masjid?

Soalan: Sesetengah pendakwah mengatakan perempuan dilarang solat di masjid atau surau. Adakah ini benar?
Zawawi
Pangkor, Perak.

Jawapan: Setiap pendapat yang bersalahan dengan hadith Nabi saw adalah batil. Menurut jumhur fuqaha’ mujtahidin, perempuan harus atau sunat bersolat di masjid atau surau. Bahkan itu lebih baik dari mereka meninggalkan solat khasnya di akhir zaman ini. Sabit dalam hadith sahih bahawa wanita muslimat bersolat subuh bersama Nabi saw dan Nabi mendengar tangisan anaknya lalu memendekkan solat baginda. Apabila ada majlis ilmu maka solat di masjid lebih bagi wanita muslimat sebagaimana baginda saw memberikan tazkirah khas untuk mereka dan menyuruh mereka bersedekah. (Riwayat Imam yang enam, Ahmad dan al-Darimi).

Dalam Hadith sahih, “Janganlah kamu halang isteri-isteri kamu akan bahagian mereka di masjid.” Riwayat Sahihayn.

Nabi telah membenarkan wanita muslimat bersolat bersama baginda selama 10 tahun di Madinah. Bahkan Nabi saw telah mengkhusukan satu pintu khas (Bab al-Nisa’) untuk wanita di Masjid Nabawi. Solat muslimat di masjid2 berterusan pada zaman khulafa’ rashidin berpuluh-puluh tahun.

Oleh itu, tinggalkanlah tradisi2 kuno, wara’ palsu, ideologi bid`ah dan idea beku, ikutilah sunnah2 Nabi yang sahih!

Solat Jumaat Tidak Wajib?

Soalan

Akm Ust Abid, Benarkah solat Jumaat tidak wajib apabila hariraya jatuh pada hari Jumaat? Shukran.
Fauzi,
Beruas, Perak.

Jawapan

Apabila telah menghadiri solat hari raya dan mendengar khutbah raya, maka solat jumaat tidak lagi wajib. Abu Dawud meriwayatkan dari ‘Ata`, Bahwa jatuh hari raya pada jumaat pada zaman pemerintahan Khalifah Ibn al-Zubayr ra., maka beliau mengumpulkan keduanya dengan 2 rakaat pada waktu pagi. Beliau tidak bersolat lagi selepas itu sehinggalah beliau solat asar.

Wahb ibn Kaysan berkata, saya bertanya tentang peristiwa itu kepada Ibn ‘Abbas lalu beliau berkata “ia (Ibn Zubayr) menepati sunnah.” Al-Nasa’ei dan Abu Dawud. Hadith ‘Ata’ dan Wahb hadith sahih.

Muhammad ‘Ali al-Shawkani (1998), Nayl al-Awtar Sharh Muntaqa al-Akhbar, Dimashq: Dar al-Khayr, jld 3, ms 269.

Syarat Ahli Hadith

Soalan
Apakah manhaj dan syarat ahli hadith di sisi ulama’ salaf?

Jawapan
Ulama’ Sunnah telah meletakkan syarat-syarat yang dinyatakan dalam sunnah Nabi saw, antaranya:-

1. Menjadi seorang ‘abid yang memelihara solat 5 waktu khasnya di masjid. Para ulama huffaz sunnah di kalangan salaf hanya menyampaikan hadith kepada yang layak, (nasik) iaitu memelihara ibadat (abid), yang ‘aqil iaitu berakal cerdas yakni yang ahli, bukan ahli bid`ah, fasiq, dan lemah hafazannya,. (Lihat al-Darimi, Sunan al-Darimi; al-Muhaddith al-Fasil, ms 141). Memastikan di masjid mana ia bersolat, sebagaimana yang dilakukan oleh al-Imam al-Hafiz Za’idah ibn Qudamah al-Kufi. “Kamu dari mana? Di mana masjid kamu?”

2. Menghafaz al-Quran terlebih dahulu. Hafs ibn Ghiyath datang kepada al-A`mash , lalu berkata “Ajarkanlah saya hadith”. Al-A`mash bertanya, “Adakah kamu sudah menghafaz al-Quran? Hafs menjawab “Belum”. Al-A`mash berkata, “Pergilah dan hafazlah al-Quran terlebih dahulu kemudian datanglah ke sini.”

Rujuk Sunan al-Darimi; al-Hasan al-Ramahurmuzi, Al-Muhaddith al-Fasil bayna al-Rawi wa al-Wa`ei, Kaherah: Jami`ah Dar al-‘Ulum, ms 19, jld 1; Dr. ‘Ajjaj al-Khatib (1989), Usul al-Hadith, Beirut: Dar al-Fikr, ms 107.

Berkata al-Walid ibn Muslim, kami datang ke majlis al-Imam al-Awza`ei, lalu beliau melihat kami masih kecil lalu bertanya, “Wahai budak, adakah kamu sudah menghafaz al-Quran?” Kalau budak itu menjawab “ya”, al-Awza`ei akan menyuruh ia membaca (yusikulullahu fii awaladikum…Surah al-Nisa’: 11). Sekiranya tidak, beliau berkata, “Pulanglah, hafazlah al-Quran terlebih dahulu sebelum kamu menuntut ilmu.”

(Lihat Dr. Yahya ibn ‘Abd al-Razzaq al-Ghawthani 2001, Kayfa Tahfaz al-Qur’an Qawa`id Asasiyyah wa Turuq ‘Amaliyyah, Dimashq: Dar al-Ghawthani, ms 25).

Sifat Muhaddith Sebenar

SOALAN
Apakah sifat2 atau syarat2 seorang muhaddith? Adakah semua muslim boleh menjadi muhaddith?
Hamidon
Sitiawan, Perak.

JAWAPAN
Menurut ‘Amir al-Sha`bi, seorang faqih besar tabi`in, terdapat dua sifat yang mesti ada bagi seseorang yang mahu menjadi muhaddith atau hafiz hadith
1. ‘aabid atau naasik
2. ‘aaqil

Kepentingan Bahasa Arab

Kewajipan bahasa arab

Firman Allah SWT, “Sesungguhnya KAMI turunkan ia (al-Quran) sebagai bacaan berbahasa arab agar kamu semua berfikir.” (Surah Yusuf: ayat 2).

Ahl Sunnah menganggap bahasa Arab adalah sebaik-baik bahasa di dunia. Terdapat hadith berbunyi, “Mencintai arab adalah iman, membenci arab adalah nifaq.” (Dalam Sahih Muslim dengan lafaz Hubb al-Ansar min al-iman, Kitab al-Iman, hadith 74). Orang yang tidak mencintai arab, tidak mengiktiraf kelebihan arab adalah ahli bid`ah.

Dari Ibn ‘Umar ra, RAsulullah saw bersabda, “Sesiapa yang mencintai bangsa arab , maka dengan sebab mencintai akulah ia mencintai mereka. Sesiapa membenci arab maka disebabkan ia membenciku.” (Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim Fi Mukhalafah Ashab al-Jahim, al-Harrani, 1999, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, ms 150.

Al-Hafiz Abu ‘Isa al-Tirmidhi mengisnadkan dari Salman al-Farisi, Rasulullah saw bersabda, “Wahai Salman, janganlah kamu membenciku nanti kamu meninggalkan agamamu.” Salman bertanya, “Bagaimana saya membencimu wahai Rasulullah, sedangkan dengan sebab tuanlah saya diberi hidayah oleh Allah? Rasul berkata, “Sekiranya engkau membenci arab nescaya engkau membenciku.” Al-Tirmidhi, al-Manaqib, hadith 3927.; Al-Imam Ahmad, al-Musnad, hadith 23219.

Berkata para ulama’ huffaz hadith, membenci bangsa arab dan memusuhi mereka adalah kufur atau membawa kepada kufur. Jelas bahawa mereka (arab) lebih utmaa dari selain mereka dan mencintai mereka sebab kekuatan iman.

Al-Hafiz Abu Tahir al-Silafi dalam Fadl al-‘Arab dari Jabir ibn ‘Abdillah, Rasulullah saw bersabda, “Mencintai Abu Bakr dan ‘Umar termasuk iman, membenciku keduanya adalah kufr. Mencintai arab adalah iman, membenci arab adalah nifaq.”

Al-Hafiz al-Silafi dengan sanadnya mengisnadkan dari Abu Hurairah, RAsulullah saw bersabda, “Sesiapa bercakap dalam bahasa Arab, maka dia adalah Arab.”

Al-Silafi dengan sanadnya, mentakhrij, bahawa Suhayb al-Rumi, Bilal al-Habashi dan Salman al-Farisi dikutuk oleh seorang lelaki kerana membantu perjuangan Nabi saw sedangkan mereka bukan bangsa Arab. Lalu berkhutbah baginda saw dengan bersabda, “Sesungguhnya arab itu bukan dari ibu dan bapa arab, tetapi ia adalah bahasa. Sesiapa bercakap dalam bahasa Arab maka dia adalah Arab!.”

Dari ‘Ali, Rasulullah saw bersabda, “Cintailah bahasa arab kerana 3 perkara, kerana saya adalah arab, bahasa al-Quran adalah arab dan bahasa ahli syurga adalah arab.” Berkata al-Hafiz al-Silafi, isnad hadith ini hasan.

Al-Silafi mengisnadkan dari al-Imam al-Shafi`ei bahawa beliau berkata menjadi wajib mempelajari bahasa arab bagi yang mampu. Ia lebih patut dicintai dari selainnya. Menjadi kewajipan bertutur dalam bahasa Arab walaupun tidak haram berturut dalam bahasa ‘ajam.
(Shaykh Muhammad Rashid Ridha, al-Wahyu al-Muhamadi)

Pengaruh bahasa.

Bahasa adalah syiar agama. Makruh membiasakan bertutur dengan selain bahasa arab. Bahasa arab adalah syiar islam dan umat islam. Bahasa adalah termasuk sebesar-besar syiar umat yang membezakannya dengan umat lain. Kerana itulah, ramai ulama’ mujtahid menganggap makruh berdoa doa dan zikir dengan bahasa selain arab.

Bahasa mempengaruhi agama, pemikiran, akhlak, sifat perangai dan adab. Ia mempengaruhi cara berfikir. Membiasakan bahasa arab adalah tashabbuh dengan salaf. Tasahhbuh dengan mereka menambah akal, agama dan akhlak.

Hukum mempelajari bahasa arab.

Memahami al-Quran dan al-Sunnah adalah wajib. Bahasa arab itu sendiri adalah agama. Oleh itu, wajib mempelajari bahasa arab kerana bahasa al-Quran dan Hadith adalah bahasa arab. Tidak sempurna yang wajib melainkan dengan sesuatu maka sesuatu itu adalah wajib. Bertutur dalam bahasa arab adalah tashabbuh (menyamai) akhlak Nabi saw, golongan sahabat sabiqun awwalun dan tabi`in. Tashabbuh dengan ‘ajam kuffar adalah makruh.

Berkata ‘Umar ibn al-Khattab, “Tidak belajar bahasa ajam melainkan khabb, dan kurang maruahnya. Pelajarilah bahasa arab kerana ia termasuk agama, pelajari syariat faraid kerana ia termasuk agama.”

Dengan itu difahami bahawa mempelajari arab dan bertutur arab adalah ibadah dan sunnah.

Bertutur dengan selain bahasa arab adalah nifaq.
Al-Hafiz Al-Silafi dari Ibn ‘Umar, Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang pandai bercakap bahasa arab, maka janganlah ia bercakap dengan bahasa ajam. Sesungguhnya ia mewariskan nifaq.”

Umar r.a. mengutuskan arahan kepada Abu Musa al-Ash`ari, “Amma ba`d, dalamilah (pelajarilah) sunnah dan dalamilah bahasa arab dan i`rablah al-Quran. Sesungguhnya ia adalah bahasa arab.”
Negara Syam, Mesr, Iraq , maghribi, dan Khurasan asalnya bahasa ajam kemudian berjaya diarabkan.

Cara terbaik menghidupkan syiar bahasa arab ialah membiasakan anak-anak bertutur bahasa arab di rumah dan sekolah. Dengan itu mudah memahami al-Quran , hadith dan kalam salaf. Jika sebaliknya iaitu telah membiasakan bahasa ‘ajam maka ia adalah sukar.
WASSALAAM

 

.

Abu Umair menulis satu artikel bertajuk “Pelajarilah Bahasa Arab”

Jika kita berasa malu dan kerdil kerana tidak mampu berbahasa Inggeris, tidak mampu membaca buku, akhbar, mendengar berita dalam Bahasa Inggeris, kenapa kita tidak merasa malu dan kerdil kerana tidak mampu memahami Bahasa Arab, bahasa Nabi kita -sallahu alaihi wasallam-, bahasa Al-Quran, bahasa solat, bahasa zikir…

Apakah ertinya solat yang kita lakukan lima kali sehari semalam, jika bacaan-bacaan dalam solat hanyalah sekadar pergerakan lidah dan bibir tanpa difahami maksudnya di dalam hati. Sedangkan solat adalah ibadah terbesar bagi seorang Muslim dan tiang agama dalam Islam. Solat disifatkan dalam hadis sebagai MUNAJAT (bisikan) antara hamba dengan Tuhannya. Bagaimana mungkin seorang hamba bermunajat kepada Tuhannya, sedang dia tidak faham apa yang dimunajatkan oleh lidahnya….

Hakikatnya, solat fardhu bukanlah sekadar pergerakan anggota zahir, ungkapan bacaan-bacaan wajib dan niat pada permulaan takbiratul ihram. Itu hanyalah solat dari sudut fiqah yang boleh melepaskan kewajipan seseorang muslim.

Tetapi solat yang sebenar ialah solat yang dilakukan dengan menghadirkan bacaan Quran, zikir dan doa di dalam hati. Apabila lidah menyebut doa, hati turut bersungguh-sungguh bermohon dengan penuh rajaa’, apabila lidah menyebut istighfar, hati turut merasa insaf dan takut terhadap dosa-dosa lalu. Ketika lidah membacakan ayat tentang syurga, hati membuak-buak kerana terlalu ingin mengecapinya. Ketika lidah membacakan ayat neraka, hati turut merasa gerun dan gementar, takut dijamah oleh api neraka. Apabila lidah menyebut ayat-ayat tentang sifat Allah, hati turut merasakan kebesaran dan kehebatan Tuhannya.

Jika seseorang mendirikan dan memelihara solat fardhu lima waktu dengan ertikata solat yang sebenar, dengan penuh penghayatan zahir dan batinnya, sudah pasti hubungannya dengan Tuhannya semakin rapat.

Untuk itu, mempelajari Bahasa Arab adalah satu kewajipan. Sepatutnya Bahasa Arab diberikan prioriti yang lebih berbanding dengan bahasa-bahasa asing lain. Sebagaimana tingginya kedudukan al-Quran berbanding buku-buku dan majalah-majalah duniawi, begitulah tingginya kedudukan Bahasa Arab berbanding bahasa-bahasa lain. Sebagaimana besarnya kedudukan Solat Fardhu berbanding amalan-amalan lain, begitulah pentingnya Bahasa Arab berbanding bahasa lain.

Justeru, belajarlah Bahasa Arab…. Sekurang-kurangnya kita faham maksud setiap kalimat yang kita baca, samada bacaan Quran, zikir, atau doa, sama ada dalam solat ataupun zikir-zikir selepas selesai solat.

Tarbiyah Wanita

Wanita diasuh dalam Islam dengan mengingati Akhirat dan zuhud terhadap dunia yang sementara. Hanya dengan cara itu mereka akan menjadi salihat, qanitat dan hafizat li al-ghayb.

Al-Imam Ahmad, dari ‘Aishah radiyaLLAhu ‘anha, Rasulullah saw bersabda,
“Tiada kebaikan dalam perhimpunan wanita melainkan di masjid atau di jenazah orang mati.”

Al-Hafiz al-Haythami, Zawa’id al-Musnad, hadith 593.

Post Navigation