Arabiyy

Tegakkanlah Agama Dan Janganlah Kamu Berpecah Belah

Archive for the day “November 16, 2009”

Bahana Meninggalkan Solat Jamaah

1.Putus hubungan dengan Allah
Yahya ibn Muaz al-Razi berkata, “Terlepas jemaah lebih berat dari mati. Mati terputus dari mahkluk sedangkan terlepas solat jamaah terputus dari Allah.”

2.Kata-katanya batil.
Abu Yazid al-Bistami berkata, “Orang yang meninggalkan solat jamaah dengan sengaja, tidak diterima kata-katanya dan kesaksiannya.”
Seorang perawi hadith dan qadhi bernama Hajjaj ibn Artaah dianggap daif oleh imam-imam hadith kerana enggan solat jamaah bersama golongan awwam.

Oleh itu, tidak harus meninggalkan jamaah bagi lelaki aaqil baaligh melainkan kerana uzur dan mashaqqah.

Keagungan Solat Jamaah

1. Al-Imam al-Tirmidhi berkata, sesungguhnya telah diriwayatkan dari ramai sahabat Nabi saw bahawa mereka berkata, “Sesiapa yang mendengar azan lalu tidak mendatangi solat jamaah maka tidak ada solat baginya.” Berkata al-Shafi`ei tiada rukhsah untk meninggalkan jamaah melainkan kerana uzur. Abu ‘Isa al-Tirmidhi, al-Sunan,Kitab al-Solat, hadith 201.

2.‘Umar al-Khattab r.a. mengarahkan agar mengheret orang yang sengaja meninggalkan jamaah ke masjid. Seorang sahabat Nabi bernama ‘Attab ibn Usid al-Umawi r.a. ketika menjawat jawatan Gabenor Makkah pernah mengarahkan agar memenggal orang yang meninggalkan solat jamaah.

3.Al-Imam ‘Ali ibn Abi Talib berkata “Tidak diterima solat bagi jiran masjid melainkan di masjid.” Sabda Nabi “Sesiapa yang mendengar azan lalu tidak hadir solat jamaah tanpa uzur (takut dan sakit) maka tidak diterima solatnya.” (Abu Dawud, al-Daraqutni dan Ibn Hibban)

4.Al-Imam al-Tirmidhi meriwayatkan dengan sanadnya dari al-Hasan al-Basri berkata, saya mendengar Anas ibn Malik berkata, “Rasulullah telah melaknat 3 golongan; lelaki yang menjadi imam sedangkan kaumnya membencinya, seorang isteri yang tidur sedangkan suaminya marah kepadanya dan lelaki yang mendengar azan kemudian tidak datang solat jamaah.” Al-Solah, hadith 326.

Solat Jamaah Di Mata Salaf

al-Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam al-Ihya’ dan Mukashafat al-Qulub menyatakan, “Apabila tertinggal takbir pertama bersama imam meraka akan menangis selama 3 hari. Apabila terlepas solat jamaah mereka menangisi diri mereka dan bertaubat selama 7 hari.”

Amat besar nilai solat dalam hati dan kehidupan mereka. al-Imam Sufyan ibn ‘Uyaynah berkata,”termasuk maruah ialah berada dalam masjid ketika iqamat.”

JAIS Benci Dakwah?

KUALA LUMPUR, 14 Nov: Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) menggesa agar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) lebih matang dalam tindakan agar ianya selari dengan misi jabatan itu “Menguruskan hal ehwal Islam secara Hikmah, Amanah dan Berkesan”.

Menurut Presiden Gamis, Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, pendirian ini dibuat agar Jais bertindak lebih matang dalam tindakan.

Bagi Gamis, Jais perlu lebih bijak dalam menguruskan isu tauliah yang dibangkitkan ramai pihak baru-baru ini demi maslahah dakwah dan perkembangan Islam di Malaysia amnya.

Isu tauliah ini hangat dibincangkan selepas negara telah dikejutkan dengan penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Jais semasa menyampaikan kuliah agama di sebuah kediaman peribadi di Taman Sri Ukay Hulu Klang. Beliau ditahan atas alasan mengajar agama tanpa tauliah di hadapan kira-kira 100 hadirin.

Lebih mengecewakan, apabila media hari ini melaporkan, Pegawai Penguat kuasa Jais, Ahmad Tarnuzi Nokin, berkata pentauliahan itu perlu walaupun hanya untuk mengajar seseorang bakal saudara baru mengucapkan dua kalimah syahadah, selain mengaji mukaddam.

Tarnuzi berkata demikian ketika menjawab soalan peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzzaman yang mewakili penceramah agama bebas, Dr Abdullah Yasin, dalam perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Ghazali Ahmad.

“Kenyataan dalam akhbar hari ini seolah-olah menunjukkan Jais menolak pengembangan dakwah di Selangor sedangkan kita sepatutnya menyahut seruan Rasulullah s.a.w. yang menyeru umatnya “menyampaikan walaupun hanya satu ayat”.

“Berapa ramai pendakwah yang mempunyai tauliah Jais hari ini? Saya berpandangan, kalaulah begini, gerakan dan usaha dakwah serta islah di Selangor akan semakin lembab,” ujar Mohd Idris.

Beliau tidak menolak pandangan bahawa tauliah ini perlu demi kemaslahatan tertentu.

Namun, persoalannya berapa banyak maslahah yang akan terhalang hanya beralasankan beberapa mafsadah yang berlaku?

Kenyataan ini juga seolah-olah satu penghinaan kepada para pendakwah yang pernah mengajar syahadah dan mengajar al-Quran termasuk di kampung-kampung tetapi tidak memiliki tauliah Jais.

Isu tauliah Jais ini mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk NGO, parti-parti politik dan tokoh tanah air yang memandang seolah-seolah tindakan Jais akan menyebabkan ruang lingkup dakwah semakin sempit.

Gamis menyeru agar isu ini bukan sahaja dipandang dari sudut pembelaan terhadap individu-individu tertentu semata-mata, namun ianya haruslah melihat kepada kesannya kepada masyarakat pada masa akan datang.

Post Navigation