Tauliah Mengelirukan
PETALING JAYA: Isu berceramah tanpa tauliah yang dilemparkan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sepatutnya tidak timbul.
Ini adalah kerana, JAIS boleh menggunakan budi bicara mereka di bawah klausa ‘Pengecualian’ seperti yang tercatat di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 jika mereka mahu berbuat demikian.
Setelah meneliti salinan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang ditunjukkan kepada mStar Online, jelas bahawa dakwaan Dr Asri memberi ceramah tanpa tauliah hanya satu alasan.
Di bawah klausa ‘Pengecualian’ seperti yang tercatat di Bahagian IX Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008, pendakwah ini sebenarnya layak diberi pengecualian.
Dalam Enakmen tersebut, klausa ‘Pengecualian’ mencatatkan bahawa:
Jawatankuasa boleh, melalui notis bertulis, mengecualikan mana-mana orang yang berikut dari kehendak mendapatkan tauliah:
a) Alim Ulama atau tokoh agama tempatan tertentu atau Alim Ulama atau tokoh agama luar negeri yang dijemput secara rasmi atau atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, jabatan atau agensinya;
b) Mufti-mufti Negeri dan ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri;
c) Hakim-hakim Mahkamah Syariah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri-negeri;
d) Menteri atau ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dengan Hal Ehwal Islam atau Ketua Jabatan Agama Islam Negeri atau ahli Majlis Agama Islam Negeri;
e) Pegawai Hal Ehwal Islam atau pegawai Agama Islam Persekutuan dan Negeri, Pensyarah-pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti-universiti tempatan atau Institusi Pengajian Tinggi Tempatan, Guru Agama Kementerian Pendidikan atau Guru Agama Jabatan Agama Islam Negeri.
Jawatankuasa Tauliah pula terdiri daripada Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai Pengerusi, Mufti (Sebagai Timbalan Pengerusi), Penasihat Undang-undang atau wakilnya yang diberi kuasa, Ketua Polis Negeri atau wakilnya yang diberi kuasa, Pengarah bahagian Dakwah JAKIM, dua orang lain yang dilantik MAIS dan Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Dakwah) sebagai Setiausaha.
Abid: Sepatutnya tauliah diberikan terus kepada orang yang alim setelah memerhatikan pengajaran mereka di amsjid-masjid dan surau tanpa perlu kepada prosedur2 yg rumit.!