Arabiyy

Tegakkanlah Agama Dan Janganlah Kamu Berpecah Belah

Archive for the month “October, 2009”

Sulayman ibnu Tarkhan al-Taymi

Abu al-Mu’tamir al-Basri (w143H) seorang tabi’i kecil dan hafiz hadith.
Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, beliau seorang abid dan bertaraf thiqah dalam ilmu hadith. Riwayat hadith beliau terdapat dalam 6 kitab hadith yang muktabar.
Berkata Yazid ibn Harun, ia termasuk ahli ibadah yang bersungguh beribadah solat Subuh dengan wudhu’ Isya’. Dia dan anknya al-Mu’tamir berjalan pada waktu malam ke masjid-masjid lalu bersolat di masjid ini dan masjid ini sehingga Subuh.

Berkata Yahya ibn Sa’id al-Qattan, “Saya tidak bertemu dengan orang yang lebih takut kepada Allah daripadanya.” Muhammad ibn ‘Abd al-A’la berkata, “Saya mendengar al-Mu’tamir ibn Sulayman al-Taymi berkata, ‘Selama 40 tahun, ayah saya berpuasa sehari, berbuka sehari dan solat Subuh dengan wudhu’ Isya’.”

Hammad ibn Salamah berkata, “Kami tidak datang kepada Sulayman pada waktu ibadah melainkan ia beribadah. Ia sentiasa bersolat, atau berwudhu’, atau menziarahi orang sakit, atau mengiringi jenazah, atau duduk bertasbih di masjid. Kami menganggap ia tidak pernah tahu bermaksiat kepada Allah SWT”.

Beraqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah aqidah salaf.
Sulayman berkata, Sekiranya saya ditanya, Dimana Allah? Saya akan berkata fis samaa’ Di atas langit. al-Zahabi, al-‘Uluww, no 270.
Al-Mu’tamir berkata, “Seorang sahabat saya meninggal, dan dia sama-sama mencari hadith dengan saya lalu saya bermuram dan sedih. Ayah saya bertanya, “Wahai Mu’tamir, adakah sahabat kamu di atas sunnah?” (yakni hidup dan mati di atas sunnah). Saya menjawab, “Ya.” “Janganlah kamu bersedih dan bimbang tentang ia.”

Rumah ayah saya runtuh lalu ia membina khemah ditutupi bulu binatang. Ia tinggal di dalamnya sehingga ia meninggal dunia. Dikatakan kepadanya, “Lebih baik tuan membina rumah semula.” Ia menjawab, “Tidak sempat, esok saya mati.”

Muhammad ibn ‘Abdillah al-Ansari berkata, “Sulayman Taymi sentiasa solat Subuh dengan wudhu’ Isya’. Tidaklah ia berada dalam waktu harus bersolat melainkan ia memenuhkan waktu itu dengan bersolat. Biasanya ia bertasbih selepas Asar sehingga Maghrib. Ia berpuasa sepanjang hayat.”

Ma’mar tukang azan Sulayman al-Taymi berkata, “Al-Taymi bersolat sebelah saya solat Isya’ membaca surah al-Mulk, sehingga ayat `falamma ra’awhu zulfatan si’at wujuh.. (al-Mulk:27), mengulang-ulangnya sehingga ahli masjid semakin sedikit dan akhirnya mereka pulang. Saya juga pulang ke rumah kemudiannya datang untuk azan Subuh, saya dapati ia masih berdiri di tempat solatnya, masih lagi mengulang-ulang ayat 27.”

Seorang lelaki bertengkar dengan Sulayman lalu menumbuk perutnya. Tiba-tiba tangannya menjadi beku.

Sulayman berkata’ “Apabila seseorang itu melakukan dosa, ia akan mengalami kehinaannya pada waktu pagi.”

Al-M’tamir berkata, “Apabila menjelang saat kematiannya, ia berkata kepada saya, “Bacalah hadith-hadith rukhsah (harapan keampunan) untuk ayah, semoga ayah bertemu Allah dalam keadaan berbaik sangka kepadaNya.”

Raqabah berkata, “Saya bermimpi melihat Allah Rabbul ‘Izzah tabaraka wa ta’ala dan Allah berfirman, “Demi keagunganKu, Aku akan muliakan tempat Sulayman. Sesungguhnya ia telah bersolat selama 40 tahun dengan wudhu Isya’.”

Saya pergi menemui Sulayman lalu memberitakan berita itu. “Adakah benar kamu bermimpi begitu?”. “Ya”. “Saya hadiahkan kamu dengan 100 hadith dari Rasulullah SAW kerana berita gembira yang kamu bawa.” Beberapa hari selepas ia meninggal dan saya bermimpi melihatnya. “Apa yang Allah lakukan kepada tuan?” “Allah telah mengampunkan saya, mendekati saya, menutupi saya dengan tanganNya lalu berfirman, “Beginilah yang Aku lakukan kepada orang yang berumur 83 tahun.”

Sulayman al-Taymi mengisnadkan hadith dari Anas ibn Malik, Abu Malik al-Nahdi, Abu Mijlaz, Abu al-‘Aliyah, al-Hasan, ibn Sirin dan lain-lain tabi’in. Beliau wafat di Basrah pada tahun 143H.

Pengenalan Surah Yasiin

Surah Yasiin merupakan surah yang ke 36 dalam al Quran, mengandungi 83 ayat dan merupakan surah Makkiyyah. Tiga perkara asasi dalam surah ini ialah keimanan tentang hari kita dibangkit dan dihimpunkan, sejarah penduduk negara Antakiyyah, serta bukti-bukti keesaan Allah (wahdaniyyah) pentadbir alam ini.

Surah ini bermula dengan sumpahan pada al Quran bahawa wahyu itu benar dan risalah Muhammad itu benar. Kemudian membicarakan tentang kuffar Quraisy yang menolak kebenaran dan kekal dalam kesesatan.

Kemudian dibicarakan tentang Antakiyyah yang mendustakan Rasul-rasul dan Islam yang dibawa dalam bentuk penceritaan. Di sini kita melihat pendirian pendakwah Habib al Najjar, pejuang mukmin yang menasihati kaumnya lalu mereka membunuhnya. Habib dimasukkan ke dalam syurga dan kaumnya diserang dengan satu pekikan yang menghancurkan mereka.

Surah ini juga membicarakan kepada kita tentang keesaan Allah Ta’ala (wahdaniyyah) bermula dengan penciptaan bumi, malam dan siang, bulan dan matahari serta kapal yang membawa manusia. Berkaitan juga dengan Hari Qiyamat dan segala kengeriannya, tiupan sangkakala yang membangkitkan semua yang mati, dari kubur masing-masing, serta membicarakan tentang penghuni syurga dan neraka. Surah Yasiin berakhir dengan membicarakan tentang kebangkitan semula dan pembalasan.

Surah ini amat perlu dihafaz oleh umat Islam dan difahami. Bersabda Nabi SAW, “Setiap sesuatu mempunyai jantung, jantung al Quran adalah Yasiin. Aku ingin surah ini berada di hati setiap umatku (yakni dihafaz oleh setiap umatku).” (Al Hafiz abu Bakr al Bazzar)…

Kadangkala terlintas di hati, mengapa saya menulis tafsir ini? Adakah akan mendapat sambutan dan memberi manfaat kepada masyarakat pembaca? Memang saya amat berminat dengan dunia tafsir terutama tafsir al Quran. Tanpa menulis tafsir bermakna saya tidak menyumbangkan sebarang pengorbanan untuk masyarakat saya.

Apakah membiarkan mereka terkapai-kapai dan meraba-raba dalam memahami al Quran itu suatu kebaikan, sedangkan al Quran diturunkan untuk difahami dan diamalkan serta dilaksanakan isi kandungannya. Jadi, inilah tugas orang yang berilmu. Sekiranya tidak menyambung siang malamku dengan mengajar dan menulis bermakna suatu pengkhianatan terhadap ilmu yang dikurniakan Allah.

Masa dan kos percetakan memang terlalu besar sehingga mencapai puluhan ribu ringgit Malaysia. Persoalan ini telah banyak melemahkan banyak penulis dan cendekiawan. Tetapi saya bertawakkal dengan Allah, menggantungkan padaNya dan tidak merasa sedih atau kecil hati sekiranya tafsir ini hanya dibaca oleh seorang dua. Hanya kepadaNya saya bertawakkal, berserah diri dan hanya kepadaNyalah saya akan dikembalikan.

“Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik dan nama yang harum
di kalangan orang-orang yang datang kemudian,
di kalangan generasi yang akan datang.”
(al Shua’raa’ : 84)

*Muqaddimah Tafsir Surah Yasin, buku saya yang diterbitkan pada April 2001.

Post Navigation